Pelajar SMK Tun Fuad Stephens tak perlu lagi ulang alik 5jam
[url=http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sabah_Sarawak_Asramapenyelamat/Article/index_html]BH Online Asrama Penyelamat[/url]
Oleh Johary Indan
bhnews
bharian [dot] com [dot] my
2010/04/20
Pelajar SMK Tun Fuad Stephens tak perlu lagi ulang alik 5 jam ke sekolah
KIULU: Kira-kira tiga tahun Alexander Jerry terpaksa berulang alik dari rumahnya di Kampung Gonipis Lama di pedalaman daerah ini ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens di sini.
Bagaimanapun, masalah keluarga Alexander berakhir bulan lalu apabila dia mendapat kemudahan untuk tinggal di asrama sekolah.
Sebelum ini, pelajar Tingkatan Tiga itu terpaksa meredah belantara berjalan hampir lima jam bermula seawal jam 5 pagi dari kampung untuk tiba ke sekolah sebelum sesi pembelajaran tengah hari bermula.
Sebaik sesi sesi persekolahan petang, Alexander bersama beberapa rakan sekampung bergegas pulang mengulangi perjalanan panjang yang sama bagi memastikan mereka tiba di rumah sebelum tengah malam.
Itulah rutin harian beberapa pelajar SMK Tun Fuad Stephens dari Kampung Gonipis Lama, Poring, Tudan, Romokon, Sungoi dan Tobobon di pedalaman daerah ini, sepanjang musim persekolahan semata-mata untuk memenuhi tuntutan menimba ilmu.
Berjalan dalam belantara dalam keadaan hujan lebat, angin kencang, panas terik dan gelap adalah perkara biasa bagi pelajar terbabit kerana kampung mereka belum mempunyai jalan raya.
Bagaimanapun, keadaan itu berubah apabila pihak sekolah memilih pelajar terbabit bersama beberapa rakan sekampung tinggal di asrama berhampiran sekolah itu yang dibuka sebulan lalu.
Alexander, 15, menyifatkan peluang tinggal di asrama sumbangan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kulim, Kedah dan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) sekolah itu membuka ruang kepadanya menumpukan perhatian penuh terhadap pelajaran
“Sebelum ini kami banyak membuang masa berulang alik dari kampung ke sekolah, kini waktu itu boleh saya manfaatkan mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah.
“Saya tidak pernah menyangka terpilih tinggal di asrama sekolah itu kerana ramai rakan dari kampung di pedalaman Kiulu memerlukan kemudahan sama,” katanya ditemui Berita Harian.
Asrama itu yang mampu menampung 100 pelajar dibina dengan kos RM200,000 serta siap akhir tahun lalu. Ia dinamakan ‘Asrama Donni’ sempena nama mendiang Donni John Duin, 11, yang meninggal kerana membunuh diri, disebabkan tekanan hidup miskin pada 2007.
Rakan sebaya yang juga sekampung dengan Alexander, Afiq Aswin berterima kasih kepada pihak sekolah kerana keprihatinan terhadap kesulitan hidup mereka berulang alik setiap hari.
“Saya mahu menggunakan peluang tinggal di Asrama Donni ini untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga tamat Tingkatan Lima atau Enam,” katanya.
Pelajar Tingkatan Dua, Victor Poulmi, dari Kampung Romokon juga tidak perlu lagi berjalan lima enam jam setiap hari selepas mendapat peluang menjadi penghuni asrama.
Sebelum ini, sekolah itu hanya dilengkapi asrama yang mampu menampung 254 daripada 1,200 pelajarnya.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMK Tun Fuad Stephens, Joisin Romut, berkata SMK Tun Fuad Stephens adalah sekolah menengah tunggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.
“Bagi pelajar yang tidak sanggup berulang alik, mereka terpaksa tinggal di luar sekolah sama ada menumpang di rumah saudara, asrama desa atau menyewa,” katanya.
Joisin berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) cuba menangani masalah itu dengan membina dua asrama desa berhampiran sekolah iaitu di Kampung Ranap dan asrama pekan Kiulu, bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kiulu.
Katanya, PIBG mentadbir sebuah asrama desa sumbangan Hotel Hyyat, selain asrama St Damiano milik sebuah gereja Katolik di Kiulu.
“Dengan adanya Asrama Donni, masalah pelajar tinggal jauh di pedalaman Kiulu dapat diatasi dengan menempatkan mereka di sini,” katanya.

Events